Saturday, January 12, 2008

ingatlah Akan KEMATIAN

MENGHADAPI kematian (sakaratul maut) adalah detik paling dahsyat yang tiada bandingannya dengan segala bahaya dan bala bencana di muka bumi ini.

Justeru, apabila terkenang sakaratul maut, ada di kalangan sahabat Rasulullah SAW pengsan dan sentiasa menangis.Rasulullah pernah bersabda dalam sebuah hadis diriwayatkan Ibnu Abi Dunya dari Ibnu Umar bermaksud: “Kematian itu apabila dikenangkan, seseorang itu lebih banyak menangis daripada ketawa.”Daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah bersabda bermaksud: “Tidakkah kamu lihat apabila seorang manusia mati, matanya terbeliak ke atas?” Jawab mereka: “Ya kami melihatnya, ya Rasulullah.” Sabda baginda lagi: “Hal itu terjadi kerana penglihatannya mengikut rohnya ketika roh itu pergi.” (Riwayat Muslim) Kehidupan yang singkat di dunia ini amat penting dalam menentukan kehidupan yang panjang di akhirat kelak. Manusia, selain tidak mengetahui hari kematiannya, mereka juga tidak mengetahui nasib akhirnya sama ada mati dalam keadaan ‘husnul khatimah’ atau ‘su’ul khatimah’, sekalipun amal ibadat dirasakan semakin bertambah. Rasulullah bersabda bermaksud: “Dan Dialah Tuhan dan tiada Tuhan selain Dia. Sesungguhnya salah seorang antara kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dia dengan syurga itu hanya sehasta. Tiba-tiba kitabnya mendahuluinya, lalu dia pun beramal dengan amalan ahli neraka, maka dia masuk ke dalam neraka. Dan sesungguhnya salah seorang antara kamu beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dia dengan neraka itu sehasta saja. Tiba-tiba kitabnya mendahuluinya, lalu dia pun beramal dengan amalan ahli syurga, maka ia masuk ke dalam syurga.” (Riwayat Bukhari)Hadis itu mengingatkan kita bahawa tidak ada manusia yang dapat menjamin kesudahan yang baik bagi dirinya. Namun, dalam meniti saat-saat kematian, ada kalanya Allah menunjukkan kepada hamba-Nya tanda baik (husnul khatimah) atau tanda buruk (su’ul khatimah) dalam mengakhiri ajal seseorang. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berhati-hati supaya tidak terjerumus dengan godaan syaitan ketika di dunia atau menghadapi sakaratul maut. Sabda Rasulullah bermaksud: “Ada dua perkara yang sangat ditakuti dan dibenci manusia:
· Manusia itu takut dan benci pada maut, padahal ia lebih baik kepada orang mukmin daripada ancaman fitnah.
· Manusia juga takut dan benci kepada miskin, padahal itu lebih baik baginya daripada susah dan menderita dihisab di akhirat nanti.” (Riwayat Ahmad)Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya malaikat mengawal dan menjaga orang yang menghadapi mati supaya tidak menggelepar dan lari kerana terlalu takut dan sakit.”Rasulullah bersabda: “Sakitnya sakratul maut itu umpama tiga ratus kali tetakan pedang.” (Riwayat Abi Dunya)Abdullah bin Umar berkata: “Apabila kamu berada pada waktu pagi, janganlah kamu tunggu waktu petang untuk beramal. Gunakanlah kesempatan sihatmu sebelum sakitmu dan hidupmu untuk kematianmu."Saidina Umar bin Abdul Aziz berkata: ”Mengapakah engkau terpesona dengan kecantikan wajahku, keputihan gigiku dan kehitaman rambutku? Demi Allah sekiranya engkau melihat aku selepas beberapa hari dikebumikan orang nanti, nescaya engkau pasti akan melarikan diri.”Saidina Ali bin Abi Talib berkata: “Bahawa manusia itu tidur lena.“Apabila kematian tiba barulah dia terjaga daripada tidurnya."Abu Darda berdoa kepada Allah: “Ya Tuhanku, aku bermohon kepadamu agar Engkau beri kepadaku pimpinan-Mu, semoga tidaklah amalanku akan memalukan ibu bapaku dan juga kaum keluargaku yang berada di alam barzakh."Saidina Hassan berkata: “Tiadalah kesenangan bagi orang mukmin kecuali dia bertemu dengan Allah dan barang siapa yang saat gembiranya adalah saat pertemuannya dengan Allah, maka kematiannya menjadi saat kegembiraannya, kemuliaannya dan saat yang dinantikan."Syaddad bin Aus berkata: “Kematian itu adalah hal yang paling ditakuti orang mukmin, baik di dunia mahupun di akhirat. Kematian lebih pedih daripada luka disebabkan gergaji ataupun gunting dan lebih panas daripada api.“Sekiranya mayat itu dibangkitkan dan dapat memberitahu ahli bumi mengenai kepedihan kerana kematian pasti mereka berasa tiada kenikmatan makan atau tidur.”Hukamah berkata: “Empat perkara yang boleh menyelamatkan seksaan kubur iaitu menjaga solat, bersedekah, membaca al-Quran dan bertasbih.“Empat perkara yang menyebabkan seksaan kubur adalah berdusta, khianat, mengumpat dan tidak membersihkan air kencing pada tubuh.”Sesungguhnya mengingati dan menghayati erti kematian adalah satu motivasi diri yang terbaik supaya diri kita menjadi lebih insaf dan tidak leka dengan keindahan dunia yang hanya sementara ini.

12 barisan manusia di Padang Mahsyar

PADA suatu hari, Muaz bin Jabal menghadap Rasulullah SAW dan bertanya: “Wahai Rasulullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah: Ketika sangkakala ditiup, maka kamu sekalian datang berbaris-baris.”(Surah an-Naba', ayat 18).
Mendengar pertanyaan itu, Baginda menangis hingga basah pakaiannya. Lalu Baginda menjawab: “Wahai Muaz, engkau bertanyakan kepada aku perkara yang amat besar, bahawa umatku akan diiring, dikumpulkan berbaris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri."Maka, dinyatakan apakah 12 barisan itu.
· Barisan pertama, diiring dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki.
· Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih bermaksud: “Mereka itu ialah orang yang ketika hidupnya menyakiti hati jirannya, maka ini balasannya.”
· Barisan kedua, diiring dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: “Mereka itu ialah orang yang ketika hidupnya meringankan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembalinya adalah neraka.”
· Barisan ketiga, diiring dari kubur berbentuk keldai, perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking. Mereka ialah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.
· Barisan keempat, diiring dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka.Mereka ialah orang yang berdusta dalam jual beli, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka.
· Barisan kelima, diiring dari kubur dengan bau busuk. Ketika itu Allah menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar. Mereka itu ialah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui manusia, tetapi tidak pula takut kepada Allah, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."
· Barisan keenam, diiring dari kubur dengan kepala mereka terputus dari badan.Mereka ialah orang yang menjadi saksi palsu. Inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka.
· Barisan ketujuh, diiring dari kubur tanpa mempunyai lidah, tetapi dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah. Mereka ialah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.
· Barisan kelapan, diiring dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas. Mereka ialah orang yang berzina. Inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.
· Barisan kesembilan, diiring dari kubur dengan wajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. Mereka ialah orang yang makan harta anak yatim dengan cara haram, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.
· Barisan ke-10, diiring dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh sopak dan kusta. Mereka ialah orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.
· Barisan ke-11, diiring dari kubur mereka dengan berkeadaan buta, gigi memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir melebar sampai ke dada dan lidah terjulur memanjang sampai ke perut serta keluar beraneka kotoran. Mereka ialah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.
· Barisan ke-12, mereka diiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat.Maka, datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan:“Mereka ialah orang yang beramal salih dan banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat. Maka, inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredaan Allah Yang Maha Pengasih.”